Jumat, 01 Agustus 2008

KADAR PENGANGGURAN NAIK, JUMLAH PEKERJAAN BARU MEROSOT

Oleh
Hashim.com

KETIDAKTENTUAN ekonomi telah menjejas kadar pengangguran di Singapura dan mengurangkan jumlah pekerjaan yang diwujudkan dalam suku kedua tahun ini.

Kadar pengangguran meningkat kepada 2.3 peratus bagi suku kedua berbanding 2 peratus dalam suku pertama tahun ini, menurut tinjauan awal Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang dikeluarkan semalam.

Kadar pengangguran didefinisikan sebagai peratusan individu yang tidak bekerja berbanding jumlah keseluruhan individu yang berusia 15 tahun ke atas yang aktif secara ekonomi.

Bilangan pekerjaan yang dijana pada suku kedua, dari April hingga Jun lalu, juga berkurangan kepada 70,600 pekerjaan berbanding 73,200 pada suku pertama. Namun, ia lebih tinggi berbanding 64,400 pekerjaan yang diwujudkan dalam suku kedua tahun lalu.

Kecuali binaan, bilangan pekerjaan yang diwujudkan bagi sektor khidmat dan pengilangan tumbuh lebih perlahan pada suku kedua.

Didorong oleh perkembangan kukuh dalam kegiatan pembinaan, bilangan pekerjaan dihasilkan dalam sektor binaan meningkat mencapai paras rekod sebanyak 22,100 bagi suku kedua, berbanding 14,500 pada suku pertama.

Mengulas perangkaan itu, Naib Presiden Analisa Pasaran dan Ekonomi Asia Pasifik Citibank, Encik Kit Wei Zheng, berkata:

'Kenaikan kadar pengangguran itu berlaku kerana bilangan mereka yang mencari pekerjaan adalah lebih tinggi berbanding dengan syarikat-syarikat yang mengambil pekerja baru. Ia bukan kerana kenaikan jumlah mereka yang diberhentikan kerja.'

Di sebalik kenaikan kadar pengangguran, bilangan pekerja yang diberhentikan kerja telah berkurangan. Sebanyak 1,900 pekerja dibuang kerja dalam suku kedua, berbanding 2,274 pekerja dalam suku pertama tahun ini. Hampir 70 peratus pembuangan kerja itu berlaku di sektor pengilangan.

Para pengamat memberi amaran kadar pengangguran mungkin meningkat jika ketidaktentuan ekonomi dalam pasaran sejagat berlarutan.

Ekonomi Singapura dijangka tumbuh lebih perlahan sebanyak 4-6 peratus tahun ini, berbanding pertumbuhan sebanyak 7.7 peratus pada tahun lalu disebabkan krisis subprima di Amerika yang menjejas sektor kewangan sejagat.

Tidak ada komentar: